Petikan Harian Metro 16/3/11
PUTRAJAYA: Mendapati bahaya Bisphenol A (BPA) boleh menyebabkan gangguan kepada sistem hormon sekali gus mengganggu sistem fungsi tubuh, kerajaan memutuskan untuk mengharamkan penjualan botol susu mengandungi bahan terbabit berkuat kuasa 1 Mac 2012.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, keputusan pengharaman itu dibuat kerana tiada bukti saintifik menunjukkan botol susu polikarbonat mengandungi BPA selamat untuk digunakan.
Polikarbonat adalah bahan plastik yang digunakan dalam pembuatan botol susu bayi manakala BPA ialah bahan kimia industri yang ditambah dalam botol susu bayi polikarbonat untuk menjadikannya keras dan lutsinar.